KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia mengendali serta menguruskan skuad Harimau Malaya.

Menerusi ruangan Instagram Story, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menawarkan diri untuk membantu membawa pasukan negara ke prestasi yang lebih baik.

“Kepada Presiden FAM, izinkan saya menguruskan pasukan kebangsaan. Saya akan sediakan fasiliti latihan dan jurulatih yang terbaik.

"Saya tidak janjikan kejayaan segera tetapi saya memberi jaminan akan peningkatan skuad kebangsaan,” tulisnya.

Tunku Mahkota Johor itu turut memberi respons kritikan terhadap barisan pemain JDT yang dilihat gagal mempamerkan persembahan terbaik bersama Harimau Malaya.

“Jawapannya ialah kepimpinan. Contoh, selepas 17 piala, pemain JDT bermain setiap perlawanan seolah-olah mereka tidak pernah menang apa-apa. Intensiti, disiplin dan fokus. Bagaimana?

“Awak mahu tahu apa perkara pertama yang saya lakukan di JDT? Saya kawal semua ‘access’ dalam pasukan. Dari media, wartawan, syarikat dan juga pemain dalam penggunaan media sosial supaya mereka akan lebih fokus kepada kerja masing-masing,” ujarnya.

Tunku Ismail juga menyarankan agar FAM tidak sewenang-wenangnya memberikan status naturalisasi kepada mana-mana pemain asing.

"Hari ini pergi untuk tugasan pasukan kebangsaan bukan lagi satu misi atau tugas bagi sesetengah orang. Ia seperti percutian musim panas.

"Sistem mesti diubah. Lepas ini naturalisasi jangan bagi sebarang-sebarang. Ia mesti dikawal dan dianalisis oleh pasukan teknikal skuad kebangsaan. Adakah pemain itu sesuai dengan gaya permainan kita?" tegasnya lagi.

Tewas kepada Vietnam dalam aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia bakal bertemu Thailand di Stadium Al Maktoum pada 16 Jun ini dalam aksi terakhir kumpulan G.

Ia akan menjadi penentu untuk memburu slot playoff ke pusingan akhir Piala Asia 2023.