SELEPAS enam minggu berlalu, malam ini enam selebriti bertopeng akan berentap untuk mara ke pentas akhir sekali gus bergelar juara musim pertama The Masked Singer Malaysia (TMSM).

Penyingkiran Reno pada konsert suku akhir TMSM memberi peluang kepada Orang Utan, Rajah Brooke, Wau, Enggang, Rafflesia dan Bunga Raya mara ke minggu separuh akhir.

Reno atau identiti sebenarnya ialah Chiwan Chilok, berada di tangga tiga terbawah bersama Wau dan Rajah Brooke selepas mendapat markah terendah.

Chiwan Chilok  mendapat markah sebanyak 72 peratus selepas mendendangkan lagu "Khayalan" nyanyian asal kumpulan Ruffedge.

Menurut Chiwan, beliau berasa terharu kerana rata-rata penonton program The Masked Singer Malaysia berjaya meneka namanya ketika mengenakan kostum Reno, dan tidak menyangka ramai yang mengenali suaranya biarpun dirinya kurang dikenali ramai.

"Berdasarkan apa yang saya tengok di Instagram dari minggu pertama lagi, ramai yang teka nama saya. Kiranya saya diterima dalam industri ini.

"Dengan suara saja orang boleh kenal, kiranya mereka betul-betul hargai kita,” katanya.

Pada masa sama, dia juga menyatakan terpaksa menahan diri daripada membalas mesej yang dihantar pengikut di ruangan pesanan yang meneka dia adalah penyanyi di sebalik topeng Reno.

Nak tahu siapa yang akan ke pentas akhir?

Jangan lupa saksikan pentas Separuh Akhir The Masked Singer Malaysia di saluran Astro Warna (saluran127) dan Warna HD (saluran 107) pada Jumaat, jam 9 malam.

Anda juga boleh strim program ini secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.