KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) disifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pelan paling sukar dalam sejarah susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Menurut beliau, perkara itu terbukti apabila pembentangan pelan berkenaan terpaksa ditunda sebanyak empat kali sebelum dibentangkan hari ini.

"Kita berpendapat bahawa perancangan inilah (RMK-12) yang paling sukar dalam sejarah kerana empat kali ditunda kerana pandemik.

"Pandemik telah mengekang kemampuan kita untuk berbelanja kerana hasil kita menguncup tetapi dalam masa kita perlu berbelanja wang besar.

"Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk menangani krisis berkembar iaitu krisis ekonomi dan krisis kesihatan," katanya dalam sidang media di Parlimen, pada Isnin.

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan

Pun begitu, kata beliau, peruntukan RM400 bilion dalam RMK-12 kali ini merupakan yang terbesar dalam sejarah rancangan Malaysia lima tahun.

"Ya benar, RM400 bilion adalah yang terbesar, namun ia mengandungi beberapa komponen. Berbeza dengan RMK-11 sebelum ini di mana kesemua RM260 bilion yang diperuntukan adalah untuk tujuan pembangunan.

"Tapi kali ini, kita ada kekangan dan kebanyakan projek adalah sambungan dan termasuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh agensi-agensi kerajaan seperti Tabung Haji dan sebagainya," jelas Mustapa lagi.