KUALA LUMPUR: Impian gandingan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk membawa pulang pingat emas lenyap selepas tewas dengan pasangan pemain China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza itu dilihat sengit pada set pertama yang mana ia ditamatkan dengan koleksi mata 24-22.

Namun, pada set kedua, nasib tidak menyebelahi pemain tanah air, sekali gus mengakhiri perlawanan dengan mata 21-13.

Dengan kesudahan straight set, Aaron Chia-Wooi Yik masih lagi mempunyai harapan untuk membawa pulang pingat gangsa untuk perlawanan seterusnya.

Sebelum ini, beregu lelaki negara Aaron-Wooi Yik berjaya menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon di peringkat suku akhir semalam.

Ia sekali gus menjadi kemenangan pertama Aaron-Wooi Yik ke atas Kevin-Marcus selepas tewas tujuh perlawanan sebelum ini di tangan pasangan Indonesia itu.