KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara 3 meter papan anjal wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020, esok.

Nur Dhabitah, 22,  menamatkan lima terjunan dengan kutipan mata 291.60 untuk meraih tempat ke-10 di pusingan awal acara tersebut.

Daripada 27 atlet yang bertanding, hanya 18 yang teratas layak ke peringkat seterusnya di mana 12 yang teratas mara ke final pada hari Ahad.

Sementara itu, rakannya, Wendy Ng Yan Yee, yang membuat penampilan ketiganya dalam Sukan Olimpik, terlepas peluang untuk mara selepas menamatkan saingan di tempat ke-20.

Kutipan mata 251.95 yang diperolehinya ternyata tidak mencukupi untuk Wendy layak ke pusingan seterusnya.