Tokyo 2020: Pandelela mara ke separuh akhir

Nickyson Nyambar
Ogos 4, 2021 09:09 MYT
Semestinya, Pandelela menggalas harapan yang cukup besar untuk memberikan aksi terbaik dalam acara separuh akhir 10 meter (m) platform wanita individu yang akan berlangsung esok di Tokyo Aquatics, Tokyo. -Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berjaya mara ke acara separuh akhir 10 meter (m) platform wanita individu di temasya sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau yang juga merupakan atlet kelahiran Sarawak berjaya menduduki tangga ke-18 dalam acara itu yang diadakan di Tokyo Aquatics.
Pandelela berjaya meraih kutipan mata 284.90 dalam saingan terakhir untuk hari ini sebelum membolehkannya terus melangkah untuk cabaran seterusnya.
Bagaimanapun, bagi penerjun negara, Cheong Jun Hoong yang bersaing dalam acara yang sama terpaksa akur apabila menamatkan cabaran di tempat ke-26 dengan kutipan 251.80 mata.
Sebagai rekod, hanya 18 peserta teratas sahaja yang layak untuk ke peringkat separuh akhir, yang diadakan esok (Khamis).
Olimpik Tokyo 2020 |Pandelela layak ke separuh akhir
#Olimpik Tokyo #Tokyo Aquatics #Pandelela Rinong #Cheong Jun Hoong #Tokyo 2020 #Sukan Olimpik Tokyo #terjun #penerjun negara