KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, dipercayai melakukan empat kesalahan berdasarkan siasatan terhadap kandungan buku memoir 'My Story: Justice In the Wildernes', yang ditulisnya.

Beliau berkata, kesalahan itu melibatkan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Untuk tindakan, kita ada empat kesalahan yang dijangka dia melakukan kesalahan.. ini kita serah kepada pihak berkuasa berkaitan, kalau kes SPRM, SPRM akan siasat, kalau Kanun Keseksaan, pihak polis akan siasat," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas Peguam Negara itu.

Ismail Sabri berkata, laporan siasatan ke atas memoir Thomas yang disediakan pasukan petugas khas, telah dinyahklasifikasikan dan sesiapa sahaja boleh melihat laporan tersebut, melalui laman sesawang Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Monsun Timur Laut 2022, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ditanya tindakan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu Thomas itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak pasti mengapa mereka 'berdiam diri'.

"Saya tak tahu kenapa diam. Biasanya kalau dia rasa bersalah dia diam, tetapi saya pun tak tahu dalam kes ini kenapa (diam)," katanya.

Buku yang diterbitkan pada Januari 2021, telah menimbulkan kekecohan pelbagai pihak hingga mengakibatkan kira-kira 244 laporan dibuat oleh individu mahupun kumpulan terhadap Thomas dan buku itu. - BERNAMA