KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mendakwa kerajaan dominasi Melayu di Malaysia menunjukkan prestasi amat buruk dalam pentadbiran sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Presiden UMNO itu berkata, Tommy tidak wajar membuat tuduhan berkenaan secara pukal yang sekali gus mencerminkan sikap prejudis seolah-olah adanya sikap Malaymophobia.

"Beliau menyatakan  "kegagalan kerajaan Melayu" ketika ini didominasi oleh orang Melayu. Beliau memuji kerajaan PH (Pakatan Harapan) pula sedangkan kerajaan PH 22 bulan dahulu ditadbir juga oleh orang Melayu malah ramai mereka kini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Mereka ini bukan sahaja Melayu, terdapat juga etnik India, Cina dan Dayak. Maknanya, Tommy Thomas terlalu obsess, prejudis hingga melabel-label etnik Melayu tanpa melihat perspektif yang menyeluruh dan luas.

"Tommy Thomas lupa statistik 2021 bahawa Melayu dan Bumiputera mewakili 69.8 peratus, etnik India 6.8 peratus dan Cina 22.4 peratus. Apa makna statistik ini? Ini bermakna mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikan etnik yang membentuk majoriti dalam apa-apa keputusan politik dan pembentukan kerajaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.


Pada Sabtu lalu, Tommy dalam sebuah forum bertajuk “Dark Forces Towards GE15” yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan mengecam dua pentadbiran selepas kejatuhan PH pada 2020 dengan mendakwa ia melambangkan kegagalan kerajaan dikuasai Melayu.

Katanya, kerajaan semasa adalah ilustrasi 'Ketuanan Melayu' dan dua setengah tahun kebelakangan ini Kabinet didominasi sepenuhnya oleh orang Melayu.

"Dua tahun setengah kemudian, anda mempunyai alasan objektif untuk bertanya soalan: Adakah kerajaan Melayu lebih cekap dan lebih baik?

"Adakah anda bergurau? Mereka baru sahaja melakukan kerja buruk dalam tadbir urus," kata Tommy.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, daripada segi agihan jawatan Kabinet, ia perlu mencerminkan dan berdasarkan jumlah populasi negara dan ini berlaku sejak dahulu hingga kini dan diterima secara menyeluruh dan menjadi amalan demokrasi tanpa mengabaikan etnik minoriti.

Jelasnya, orang Melayu dan Bumiputera terkenal dengan sikap bertolak ansur dan tidak rasis.

"Walaupun ramai mereka cemerlang di peringkat asasi dan matrikulasi mencapai Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) 4.0 akan tetapi ramai Melayu Bumiputera kurang berpeluang mengikuti kursus yang mereka minati seperti bidang perubatan namun mereka tidak gunakan isu ini sebagai mereka dipinggirkan dan tidak pula mereka dengki terhadap etnik lain yang mendapat tempat tersebut.

"Di mana-mana tempat perkampungan Melayu dan Bumiputera ada sahaja kedai Cina khususnya dan India malah perniagaan mereka  ini disumbangkan oleh kuasa ekonomi Melayu Bumiputera yang memakmurkannya tanpa sikap prejudis dan rasis," ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, Tommy dilihat lupa akan kedudukan yang dicapai beliau sehingga dilantik sebagai Peguam Negara oleh Yang Di-Pertuan Agong disebabkan Malaysia sebuah negara harmoni daripada segi perpaduan walaupun beliau dikecam kerana tidak fasih bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara.

"Namun sikap Tommy Thomas bukanlah baru. Dalam bukunya beliau pernah mendakwa parti Melayu sentrik selepas PH membawa bencana.

"Sebagai rakyat Malaysia kita perlu menolak sikap rasis yang boleh mengugat keharmonian kaum. Biarlah kita bersikap "di mana bumi di pijak di situlah langit dijunjung" dan hayatilah peribahasa "bersatu kita teguh bercerai kita roboh"," tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.