BENTONG: Sebuah kereta rosak teruk selepas tong gas LPG yang ditinggalkan di dalam kenderaan itu meletup dalam kejadian yang berlaku di sebuah flat di Bentong pada Sabtu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang menerusi laporan komander operasi, Engku Fadzir Engku Man berkata kejadian melibatkan kereta jenis Proton Saga yang diletakkan di tempat parkir Flat Dahlia.

Pihaknya mengesahkan telah menerima panggilan pada jam 11.44 pagi berhubung insiden itu.

Susulan itu, lapan anggota daripada BBP Bentong digerakkan ke lokasi bersama jentera.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kebakaran berlaku di lokasi, namun, kenderaan terbabit terjejas teruk.

"Pasukan bomba dalam masa sama turut bertindak membuat pemeriksaan dan pemantauan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada punca api serta kawasan sekeliling berada dalam keadaan selamat.

"Pihak Bomba telah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.