AirAsia menangguhkan perpindahan operasinya ke KLIA2 bagi memastikan terminal baru itu selamat digunakan sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan kepada laman web The Malaysian Insider.

Bagi menjawab dakwaan Pengurus Besar Kanan (perkhidmatan operasi) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Azmi Murad yang berkata bahawa syarikat penerbangan tambang murah itu mahukan muzium dan spa, Tony menganggapnya sebagai satu kenyataan “lucu”.

“Saya tahu tentang muzium. Ia adalah bagi memupuk minat kanak-kanak kepada dunia penerbangan. Spa, saya tidak tahu,” tambah Tony.

“Tetapi perkara utama adalah kami mahukan terminal penerbangan tambang rendah baharu yang selamat. Kami hanya mahukan terminal yang murah untuk pengguna dan menepati masa. MAHB telah gagal kedua-duanya.

“Ia mengambil masa dua bulan sebelum kami berpindah ke LCCT. Kami perlukan masa. Sukar untuk saya percaya bahawa sebuah lapangan terbang yang tertangguh pembinaannya sehingga tiga tahun dengan peningkatan kos dari RM2 bilion ke 4 bilion, mempunyai kredibiliti.

“Kami akan keluarkan kenyataan yang jelas. Tidak timbul soalan tentang berpindah, hanya tentang masa dan memastikan ia murah untuk pengguna kerana ia sepatutnya adalah terminal kos rendah, kata beliau.

Sebelum ini Azmi berkata MAHB telah memenuhi hampir kesemua kehendak AirAsia Bhd untuk syarikat itu beroperasi dari terminal penerbangan tambang rendah baharu, KLIA2.

Antara beberapa perkara yang dikehendaki AirAsia dan tidak dipenuhi MAHB ialah spa dan muzium, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Berikutan operasi penerbangan di KLIA2 bermula pada 2 Mei dan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) sedia ada ditutup pada 9 Mei, AirAsia tiada pilihan melainkan beroperasi dari lapangan terbang baharu itu.