Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 19 kesalahan selepas menjalankan pemantauan ke atas 2,453 premis perniagaan berhubung penjualan topeng muka dengan nilai kompaun dan rampasan masing-masing RM67,400 dan RM4,343.50.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan memaklumkan, statistik bermula 25 Jan hingga 11 Feb itu mendapati daripada 19 kesalahan terbabit, 16 adalah kes jualan melebihi harga maksimum dan tiga adalah kes tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau menegaskan topeng muka (pembedahan/perubatan) merupakan barang harga terkawal di bawah Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No.2) 2009.

"Ini bermaksud mana-mana penjual yang menjual topeng muka melebihi harga yang diwartakan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan mempertingkatkan pemantauan di premis perniagaan yang menjual topeng muka sehingga novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) dapat dibendung bagi menangani sebarang jualan melebihi harga kawalan atau kenaikan harga yang tidak munasabah mengikut AKHAP 2011.

Menurutnya, bagi melindungi pengguna daripada pencatutan berikutan peningkatan permintaan untuk topeng muka, pegawai penguat kuasa KPDNHEP aktif melakukan pemeriksaan setiap hari di premis perniagaan yang menjual topeng muka seluruh negara mulai 25 Jan lepas.

Harga maksimum topeng muka adalah seperti berikut:-

JENISHARGA MAKSIMUM RUNCIT (RM)

Topeng muka 1 ply (ear loop)

100 keping x 1 kotak

7.00 sekotak

Topeng muka 2 ply (ear loop)

100 keping x 1 kotak


10.00 sekotak

0.20 seunit




50 keping x 1 kotak

0.80 seunit

Topeng muka 3 ply (tie-on)

50 keping x 1 kotak

0.80 seunit

N95

20 keping x 1 kotak

6.00 seunit

Saifuddin Nasution berharap dengan penegasan kementeriannya itu, para peniaga akan terus mematuhi undang-undang yang berkaitan.

Beliau turut menyeru para pengguna untuk peka serta mengadu kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan kementerian itu termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 sekiranya terjumpa sebarang insiden penjualan topeng muka melebihi harga kawalan oleh peniaga.

Katanya, sebarang hasil pemeriksaan dan tindakan yang diambil oleh KPDNHEP berkenaan isu topeng muka akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA