KUALA LUMPUR: Agensi promosi pelancongan rasmi Negeri Selangor, Tourism Selangor telah menyertai World Travel Market di London sebagai usaha menjadikan negeri itu hab pelancongan pilihan dan kompetitif di pasaran Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Shah Mohamad berkata program bermula 5 hingga 11 November itu merupakan platform terbaik untuk mempromosi dan menarik minat pelancong antarabangsa ke negeri tersebut selain turut bagi mengekalkan hubungan dua hala.

Jelasnya, antara projek utama yang difokuskan Tourism Selangor adalah pelancaran Projek Geopark Gombak Hulu Langat (GHL) yang terdiri daripada 13 geotapak di daerah Gombak dan tujuh Geotapak di Daerah Hulu Langat, seluas 112,955 hektar.

“Usaha membangunkan projek tersebut adalah bagi memelihara sumber asli negeri untuk generasi akan datang.

“Projek GHL itu merangkumi termasuk Taman Eko Rimba Kancing, Batu Caves, Taman Eko Sungai Tekala, Kolam Air Panas Selayang dan Permatang Kuarza Klang Gates,” katanya pada Rabu.

Selain itu, Tourism Selangor turut telah bekerjasama dengan British Geology Survey dan National Geographic Traveler UK bagi mempromosikan projek tersebut untuk permintaan dan pasaran Eropah.

Pada masa sama, misi itu turut mempamerkan pelbagai segmen pasaran di negeri Selangor termasuk kempen ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’.

Sehingga tahun 2021, terdapat peningkatan sebanyak 13 peratus pelancong dari negeri Eropah yang melawat Selangor berbanding tahun lalu semasa sekatan perjalanan antarabangsa.


Tourism Selangor | Pacu hab pelancongan di Eropah

*Artikel ini adalah kandungan berbayar