Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas bekas pemimpin Umno yang kini bersekongkol dengan pembangkang dan anasir asing untuk menyerang bertubi-tubi pucuk pimpinan negara dan mahu menghancurkan UMNO.

Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden itu berkata perbuatan mereka membuatkan Umno yang selama ini berkhidmat tanpa berbelah bahagi kepada semua kaum dianggap berada di hujung tanduk.

"Masih ingatkah kita semua, suatu masa dahulu, seorang nakhoda telah mengungkapkan perihal 'Melayu Mudah Lupa' dan 'Melayu Haprak'. Namun, malang sekali, nakhoda pengungkap 'Melayu Haprak' itu telah terjun dari bahtera Umno ini.

"Sebenarnya siapakah yang haprak ini?" kata Ahmad Zahid semasa merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2016, di sini malam tadi.

Ahmad Zahid berkata walaupun beliau sendiri pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini, tetapi beliau tetap setia kepada UMNO.

"Saya dimangsakan dan diISAkan, tetapi taat setia saya tetap kepada Umno," katanya.

Pada 1998, Ahmad Zahid, ketika itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno, ditahan bersama empat yang lain di bawah ISA.

Beliau menggesa seluruh anggota parti supaya meyakini perjuangan parti dan 'tetap kekallah bersama dengan parti UMNO'.

Tanpa menyebut nama bekas pemimpin, Ahmad Zahid jelas merujuk kepada bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini bersama bekas Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia.

Bekas pemimpin tertinggi UMNO itu sekarang bersama pembangkang menyerang UMNO dan juga kerajaan.

Ahmad Zahid berkata mereka yang berpihak dengan pembangkang percaya kepada falsafah 'matlamat menghalalkan cara' (the end justifies the mean) dan satu taktik mereka ialah mengadakan demonstrasi jalanan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat.

Timbalan Perdana Menteri juga memberi amaran kepada pembangkang yang menganjurkan demonstrasi jalanan bahawa selagi beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, beliau akan terus memantau taktik pembangkang itu.

Ahmad Zahid juga menyamakan taktik pembangkang yang melakukan penipuan besar dengan propaganda di zaman Hitler yang memupuk budaya politik kebencian.

"Mereka mencipta pelbagai jalan cerita untuk menghancurkan pemimpin UMNO. Mereka mencipta 'story board' dalam membentuk 'perception terrorism' (persepsi terrorisme) sepanjang masa bagi menghilangkan kepercayaan terhadap pemimpin dan institusi yang menjadi tunjang kemakmuran negara," katanya. -- Bernama