KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memulakan lawatan kerja ke Sarawak dengan menghadiri sambutan Hari Gawai Dayak di kediaman Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut menyertai kunjungan beliau di Taman BDC di sini malam tadi, Premier Tan Sri Abang Johari Openg dan Timbalannya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Pagi ini, Ahmad Zahid dijadual mengadakan pertemuan dengan Abang Johari di kediamannya di Petra Jaya sebelum berangkat ke Sibu menggunakan pesawat khas dan menaiki helikopter ke Kapit.

Di Kapit, beliau turut dijadual mengunjungi sambutan Gawai di kediaman Menteri Kerja Raya Sarawak Datuk Seri Alexander Nanti Linggi pada sebelah tengah hari.

Rangka lawatan beliau kemudian diteruskan dengan Program Bersama Rakyat di Rumah Panjang Richard Engking sebelum dijangka pulang ke Kuala Lumpur melalui Sibu pada sebelah petang.

Ia merupakan lawatan kedua Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan ke Sarawak.

Aktiviti kunjung-mengunjung atau ‘ngabang’ dalam bahasa Iban dan ‘nemi’ dalam bahasa Bidayuh merupakan sebahagian tradisi masyarakat Sarawak bagi memeriahkan sambutan Hari Gawai.