Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dilaporkan mula sesak setakat pukul 9 pagi ini berikutan kebanyakan warga kota mula pulang ke kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut esok.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Plus berkata di bahagian utara, trafik sesak dari Tanjung Malim menghala ke Gopeng, Perak, manakala di selatan, ia mula sesak dari Seremban menghala ke Skudai, Johor.

"Ia dijangka berterusan pada waktu tengah hari nanti hingga ke malam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta www.twitter.com/llminfotrafik.