KUALA LUMPUR: Jumlah trafik penumpang udara bagi suku pertama 2022 mencapai 8.7 juta, jumlah tertinggi sejak pandemik bermula, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Disebabkan kesan asas yang rendah, pertumbuhan sebanyak 415.6 peratus tahun ke tahun dicatatkan berbanding -91.2 peratus tahun ke tahun pada suku yang sama tahun lepas.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kassim dalam satu kenyataan hari ini berkata susulan daripada pelonggaran sekatan perjalanan di Malaysia, industri penerbangan semakin pulih daripada kesan pandemik, selaras dengan peningkatan jumlah trafik penumpang pada awal tahun 2022.

"Berikutan pembukaan sempadan antarabangsa negara sejak April tahun 2022, pemantauan dilakukan oleh MAVCOM menunjukkan bahawa peningkatan tersebut didorong oleh permintaan terpendam terhadap penerbangan dan pelancongan.

"MAVCOM memahami bahawa orang ramai masih berhati-hati disebabkan konflik global serta ketidaktentuan ekonomi sedia ada. Walaubagaimanapun, ia kekal positif dan mengunjurkan bahawa sektor penerbangan akan terus pulih pada 2022 dengan pelaksanaan langkah-langkah yang sesuai," katanya.

Dalam laporan Waypoint yang diterbitkan sebanyak dua kali setahun, ia berkata pertumbuhan trafik penumpang udara tersebut kebanyakannya didorong oleh penumpang udara domestik yang menyumbang sebanyak 88.8 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara pada suku pertama 2022.

MAVCOM juga melaporkan bahawa jumlah kargo mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2022, meningkat kepada 5.1 bilion tan kargo setiap kilometer (FTK) daripada daripada 4.8 bilion FTK direkodkan pada suku pertama tahun 2021.

Pertumbuhan itu didorong oleh kapasiti ruang kargo pesawat yang kembali beroperasi semula berikutan penerbangan antarabangsa disambung semula secara beransur-ansur.

-- BERNAMA