KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju untuk mendedahkan laporan akhir nahas Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan pemimpin-pemimpin utama negeri Sabah ketika itu, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pada Rabu berkata, laporan itu yang akan dikeluarkan sepenuhnya selewat-lewatnya minggu depan, telah dituntut oleh rakyat Sabah sejak 47 tahun lalu.

"Selama ini, Kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan [laporan ini] di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Hari ini, jemaah menteri mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan dibuat oleh keluarga waris yang ingin maklumat terperinci.

“Ianya selari atau tuntas dasar keterbukaan dan transparency yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan. Oleh demikian, kita memutuskan bahawa laporan akhir siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air 6 Jun 1976 akan diturun taraf (declassify),” kata Anwar, dalam sidang media susulan mesyuarat kabinet, di Putrajaya, pada Rabu.

Tambah Anwar, jemaah menteri bersetuju untuk mengambil langkah tersebut walaupun selepas mengambil kira beberapa komplikasi yang mungkin timbul, antaranya dari segi perundangan.

Namun, tegas beliau, umum terutamanya rakyat Sabah dan waris mangsa berhak untuk mengetahui perincian laporan nahas itu, yang tidak wajar lagi diklasifikasikan bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

Nahas itu yang juga dikenali sebagai Tragedi Double Six mengorbankan kesemua 11 penumpang, termasuk Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens; Menteri Kewangan negeri Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin serta Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun.