TASEK GELUGOR: Memasuki hari kesembilan kehilangan Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari  Hashim, keluarga pendaki itu masih kekal positif dengan berharap tempoh misi pencarian (SAR)  dapat dilanjutkan sehingga dia ditemui dan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Ibu kepada Muhammad Hawari, Che Tom Hassan berkata, dia dan menantunya, Saffiyah Tang Xie Lie tidak putus-putus berdoa agar Hawari berjaya ditemukan meskipun mengetahui kawasan pergunungan itu akan ditutup Isnin ini.

Che Tom berkata, sejak beberapa hari ini, anak perempuan Hawari, Hana Sakeena yang berusia empat tahun sudah mula merindui bapanya dan bertanyakan keberadaan bapanya itu.

Malah katanya, Hana Sakeena turut meluahkan kerinduan terhadap bapanya menerusi lukisan mereka sekeluarga di satu kawasan pergunungan.

"Isteri (Hawari) memang kita tengok dia down tetapi kita beri sokongan supaya tidak ikut perasaan. Anak kecil yang berumur dua tahun dia gembira saja. Dia belum faham apa-apa lagi. Cuma kakak dia yang usia empat tahun, dia bertanya. Dalam masa dua tiga hari lepas dia lukis lukisan, bapa, ibu dia dan adik dia, dan dia lukis rumah.

"Dia  beritahu bapanya dia ‘hilang’, memang dia rindu. Dua keping dia lukis, dia lukis gambar bukit dan kata ayahnya berjaya dan sudah berada di situ. Memang sedih, tengok anak nombor satu itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Ahad.

Meskipun Terkejut dengan berita kehilangan suaminya, Saffiyah (dua, kiri) berharap SAR mencari suaminya dapat dilanjutkan. - Foto Astro AWANI

Menurut Che Tom, sehingga kini dia juga masih tidak mendapat petunjuk berhubung keberadaan anak lelakinya itu.

"Besar harapan, makcik doa yang terbaik untuknya. Makcik minta SAR dipanjangkan lagi, maksudnya jangan hentikan lagi. Minta panjangkan tempoh cari Hawari, kita harap dibukakan ruang lagi," katanya lagi.

Sementara itu, dengan berinteraksi hanya menggunakan bahasa isyarat, Saffiyah dibantu anak saudaranya, Muhammad Danish Danial Muhammad Hafizul, berkata, kali terakhir dia menghubungi suaminya adalah pada 15 Mei lalu sebelum memulakan pendakian ke puncak.

Terkejut dengan berita kehilangan suaminya, Saffiyah turut berharap SAR mencari suaminya dapat dilanjutkan.

"Dia mohon satu Malaysia yang semua tahu mengenai (kehilangan) ini doakan Hawari balik, dia harap sangat mana yang tahu doakan suami dijumpai selamat dan balik ke pangkuan keluarga. Suami sudah berjanji hendak balik awal, nak sambut kat KLIA tetapi tertanya-tanya mana suami dia," kata Muhammad Danish Danial.

Terdahulu, keluarga Muhammad Hawari menerima kunjungan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang tampil menghulurkan sedikit sumbangan.

Wan Saiful berkata beliau akan mengusahakan bantuan khidmat kaunseling kepada keluarga Hawari bagi memberi sokongan kepada mereka yang terkesan dengan kehilangannya.

"Ini traumatik dan mengejutkan keluarga dalam menghadapi situasi sokongan emosi ini penting. Tadi saya bincang kita akan minta bantuan agensi berkaitan memberi kaunseling bagi membantu keluarga menghadapi cabaran yang sedang dilalui sekarang.

"Saya dimaklumkan ada permohonan dari pihak kita untuk panjangkan tempoh pencarian. Kita harap akan diluluskan. Kita harap beliau dapat ditemui, kita doakan begitu," katanya.

Muhammad Hawari yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.

Beliau yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

Mangsa merupakan anggota kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter.