GEORGE TOWN: Dua juruterbang pesawat pejuang Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempat keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal dalam insiden di landasan Pangkalan Udara Butterworth Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati kedua-dua juruterbang berkenaan telah berlepas dari Pangkalan Udara Butterworth bagi sesi latihan penerbangan malam (night Flying) yang berlangsung selama sejam sebelum terhempas.

''Sesi latihan berkenaan berlangsung selama satu jam, namun pada jam 10.07 malam, pesawat berkenaan dilaporkan terhempas di atas landasan dan menyebabkan berlaku letupan

"Bagaimanapun, kedua-dua juruterbang sempat keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal, namun seorang daripadanya telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi selamat dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut" katanya.

Hasil laporan bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) menunjukkan punca kematian Kapten Mohamad Affendi Bustamy adalah disebabkan pelbagai kecederaan akibat terhempas.

[LAPOR LANGSUNG] Tragedi Hawk: Pesawat pejuang TUDM terhempas

Mohd Shuhaily berkata berikutan itu, polis mengklasifikasikan kematian sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan terperinci berhubung insiden masih dijalankan.

Jelasnya, setakat ini, pihak polis masih belum mengambil keterangan juruterbang yang terselamat berikutan beliau masih menerima rawatan di HSJ.

''Keterangan daripada juruterbang yang terselamat masih belum diperoleh kerana beliau masih dirawat dan percakapan akan dibuat selepas ini'' katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jenazah Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang pada malam Rabu.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Rabu, sebuah pesawat Hawk 108 milik TUDM dilaporkan terhempas ketika dua juruterbangnya mengadakan sesi latihan penerbangan malam.

Insiden menyebabkan  Kapten Mohamad Affendi Bustamy terkorban manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar, 33 cedera dan kini menerima rawatan di HSJ dengan keadaannya dilaporkan stabil.