KUALA LUMPUR: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Mohd Fareez Omar yang mengalami kecederaan selepas Pesawat Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth Selasa lalu, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mohd Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang sebelum itu menjalani pembedahan pada 17 November di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

BACA: Tragedi Hawk: Mejar Mohd Fareez selesai jalani pembedahan

Dalam satu kenyataan, Markas Tentera Udara memaklumkan Mohd Fareez selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi buat masa sekarang dan telah sedarkan diri serta berada dalam keadaan stabil.

Beliau kini dalam pemantauan pegawai perubatan dan memerlukan rawatan susulan.

Bagi rancangan rawatan selanjutnya, TUDM akan terus memastikan urusan rawatan perubatan Mohd Fareez diuruskan dengan sebaik-baiknya.

Manakala urusan kebajikan isterinya, Siti Hajar Abdullah serta dua anaknya yang berusia 3 tahun dan 5 bulan akan dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth.

Susulan insiden berkenaan, TUDM telah menubuhkan lembaga siasatan bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan Pesawat Hawk 108.

Markas Tentera Udara juga meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan berita yang tidak sahih berkenaan tragedi serta turut sama mendoakan kesembuhan kepada Mohd Fareez.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa lalu, sebuah Pesawat Hawk 108 yang dikendalikan Mohd Fareez dan Kapten Mohamad Affendi Bustamy terhempas di Pangkalan Udara Butterworth.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Tragedi Hawk: Pesawat pejuang TUDM terhempas

Insiden itu menyebabkan Mohamad Affendi terkorban manakala Mohd Fareez mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.