Gurauan seorang suami untuk dikebumikan bersebelahan dengan kubur anaknya yang meninggal tiga tahun lalu seakan menjadi petanda mendiang akan pergi selamanya.

Menurut balu mangsa, Mardiana Majapah, 37, mendiang suaminya Jaimin Bien, 46, pernah berkata demikian sebelum kejadian berkenaan yang dianggapnya hanya sebagai gurauan semata-mata.

"Sebelum ini mendiang ada menyatakan sekiranya dia meninggal, dia mahu dikuburkan bersebelahan dengan anak kami yang meninggal tiga tahun lalu akibat kanser buah pinggang, di Kampung Melangkap," katanya ketika ditemui media di Hospital Kota Marudu, hari ini.

BACA: Dua lelaki maut tertimbus tanah runtuh

Mardiana mempunyai enam cahaya mata hasil perkahwinan hampir 20 tahun bersama mendiang dengan anak sulungnya berusia 19 tahun manakala bongsu pula berusia lima tahun.

Dia turut menyifatkan pemergian mendiang menjadi kehilangan besar buat keluarganya apatah lagi, dua anak mereka masih bersekolah.

Jaimin Bien sedang dalam perjalanan ke Pekan Kota Marudu ketika insiden tanah runtuh itu berlaku.
"Selalunya setiap kali hujung minggu dia akan mengambil kami di Kampung Melangkap untuk ke Kampung Surung-Surung kerana saya akan berada di sana sepanjang minggu persekolahan untuk menjaga anak-anak," katanya.

Mardiana yang kali terakhir bertemu dengan suaminya Isnin lalu, berkata ketika kejadian tanah runtuh itu, suaminya dalam perjalanan menuju ke Pekan Kota Marudu untuk membeli barang keperluan.

"Untuk membeli barang keperluan, suami akan pergi membeli di Pekan Kota Marudu dan jika mempunyai urusan lain, dia akan memberikan duit kepada saya untuk membeli barang keperluan di rumah," tambahnya.

Sementara itu, James Salut, 54, bapa Edmond James yang turut maut dalam kejadian berkenaan, berkata anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum insiden itu dan dia juga tidak dimaklum oleh anaknya yang dia akan keluar pada malam itu.

James menunjukkan MyKad anaknya, Edmond, yang maut dalam insiden tanah runtuh di Kota Marudu pagi tadi.
"Mendiang tidak memaklumkan kepada saya yang dia akan keluar pada malam itu tetapi rakannya ada memberitahu saya yang dia hendak ke Kampung Melangkap untuk mengambil isterinya.

"Kali terakhir saya berhubung dengan anak saya pada jam 8 malam semalam kerana ketika itu dia masih berada di rumah," katanya.

James turut berkata dia hanya tahu tentang tragedi yang mengorbankan nyawa anak bongsunya yang berusia 22 tahun itu, daripada anak buahnya.

"Anak buah saya tiba di rumah saya pada jam 7 pagi untuk mengambil saya kerana saya mahu menumpang keretanya ke Pekan Kota Marudu.

"Ketika dia tiba di rumah saya, dia memaklumkan ada ternampak motosikal milik Edmond jatuh di lokasi kejadian tetapi tidak pula nampak anak saya di sana," katanya.

Kerja-kerja pembaikan giat dijalankan di kawasan tanah runtuh petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam sekitar pukul 7.20 pagi yang memaklumkan ada mangsa tertimbus di kawasan tanah runtuh.

"Pasukan Bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 8.04 pagi. Mangsa pertama dijumpai dan dikeluarkan pada 8.31 pagi sementara mangsa yang kedua dikeluarkan pada 9.28 pagi," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Mohd Izaan Abdullah berkata, kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi insiden.

Terdahulu, kedua-dua mangsa ditemui maut selepas motosikal dinaiki mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di KM36 Jalan Marak Parak-Ranau, dekat sini pagi tadi.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Pekan Kota Marudu untuk membeli barangan keperluan dengan menaiki motosikal jenis Honda Ex5 sebelum ditemui tertimbus oleh penduduk setempat.