KUALA LUMPUR : Kes jangkitan HIV dalam negara menurun sehingga 66 peratus dari tahun 2002 sehingga 2020.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, perkembangan positif itu disumbang menerusi pengenalan Program Pengurangan Risiko HIV/AIDS negara.

"Jumlah jangkitan baharu HIV masih berada pada paras 3,000. Pada 2020, sebanyak 3,146 kes baharu dilaporkan atau 9.3 individu bersamaan 100,000 populasi. 94 peratus daripadanya adalah disebabkan penyebaran menerusi kegiatan seksual.

"Ia adalah merupakan trend yang sama sejak beberapa tahun yang lalu dan banyak yang perlu dilakukan untuk mendidik orang ramai bagi memastikan jangkitan menerusi cara ini berkurang.

"Sebanyak 4 peratus yang lain pula disebabkan penggunaan dadah secara suntikan, dan 1 peratus adalah disebabkan jangkitan dari ibu ke anak dan sebab-sebab lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Red Ribbon Gala Sunway-MAF Tun Dr Siti Hasmah Award, Yayasan Aids Malaysia,  di sebuah hotel di ibu negara pada Jumaat.

Ujarnya, indeks angka paling tinggi dicatatkan pada 2002 dengan 6,978 kes atau 28 individu bersamaan 100,000 populasi menghidap HIV.

Khairy menambah, trend jangkitan HIV juga telah menunjukkan perubahan yang besar sejak beberapa tahun yang lalu dengan pengenalan program serta sistem rawatan di fasiliti kesihatan negara. 

"Trend jangkitan HIV telah berubah sejak beberapa tahun lalu. Lebih banyak perlu dilakukan untuk membendung jangkitan melalui cara ini.

"Ia tidak mustahil untuk dilaksanakan apabila melihat kita berjaya menghentikan peningkatan kes menerusi suntikan semasa fasa awal wabak HIV dengan memperkenalkan Program Pengurangan Risiko HIV/AIDS.

"Pelaksanaan program pertukaran jarum picagari dan terapi penggantian metadon pada tahun 2006 juga mengakibatkan pengurangan ketara jangkitan baharu sebanyak lebih separuh dalam masa lapan tahun sahaja," katanya.

Ujar beliau, Malaysia akan terus komited dalam misi menamatkan penyebaran HIV/AIDS menjelang 2030.