Trump 'benci' China tapi pernah ada akaun di negara itu

Agensi
Oktober 23, 2020 07:56 MYT
Meskipun Trump dilihat sangat negatif terhadap China namun beliau mengakui pernah mempunyai akaun di negara itu ketika masih bergelar ahli perniagaan. - Gambar AP
TENNESSEE: Debat terakhir pemilihan Presiden Amerika Syarikat menyaksikan Donald Trump terus menyalahkan China berkaitan pandemik COVID-19 yang menyerang negara itu.
Trump menegaskan, China mengawal virus itu agar tidak merebak di dalam negaranya namun tidak pula menghalang daripada merebak ke negara lain.
Tegas Trump, terdapat lonjakan kes di beberapa kawasan dalam negara itu namun kini beransur hilang.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya. Bukan salah saya virus ini datang ke sini. Ia adalah salah China. Ia juga bukan salah Joe (Biden). Ia salah China.
“Mereka menghalang virus daripada merebak dalam negara mereka tapi tidak pula mengahalangnya daripada keluar ke negara lain termasuk Eropah dan negara kita,” katanya.
Biden yang ternyata kurang senang dengan cara Trump menguruskan COVID-19 di negara itu dengan tegas menyatakan individu yang membiarkan banyak kematian berlaku akibat virus itu tidak boleh kekal menjadi Presiden Amerika Syarikat.
“Seramai 220,000 orang Amerika mati. Anda tidak mendengar apa-apa lagi yang saya katakan malam ini? Dengar ini.
“Sesiapa yang bertanggungjawab kerana banyak kematian tidak boleh kekal sebagai Presiden Amerika Syarikat,” tegasnya.
Meskipun Trump dilihat sangat negatif terhadap China namun beliau mengakui pernah mempunyai akaun bank di negara itu ketika masih bergelar ahli perniagaan beberapa tahun lepas.
"Saya percaya ia ditutup pada tahun 2015. Kemudian, saya terfikir untuk membuat perjanjian di China, seperti berjuta-juta orang lain.
“Saya memikirkannya dan saya memutuskan untuk tidak melakukannya, tidak menyukainya. Saya memutuskan untuk tidak melakukannya. Saya pernah membuka akaun dan saya juga telah menutupnya,” katanya.
Biden yang tidak berpuas hati dengan jawapan Trump berkaitan China terus 'menyerangnya' sehingga membuatkan Trump tidak senang duduk dan melabel Biden sebagai ‘ahli politik tipikal’.
“Dia menyanjung lelaki seperti samseng seperti di Korea Utara dan Presiden China (Xi Jinping) dan Putin (Presiden Rusia) dan lain-lain.
“Dan dia seolah-olah mewujudkan masalah dengan semua rakan kita, semua sekutu kita,” kata Biden.
Trump membalas: “Mari bercakap mengenai politik yang sukar. Boleh? Itulah sebabnya saya terpilih. Mari mulakan, mari kita lari dari subjek China ini.”
Debat terus hangat apabila isu nuklear Korea Utara diutarakan apabila Biden menegaskan beliau akan melakukan sesuatu untuk mengawal negara itu agar ia tidak dapat ‘mencederakan’ Amerika.
"Kami akan memastikan kami dapat mengawal mereka dan memastikan mereka tidak dapat menyakiti kami. Oleh itu, jika anda ingin melakukan sesuatu, bangun dan bantu.
“Sekiranya tidak, ia akan berterusan. Apa yang telah dia lakukan? Dia mengesahkan Korea Utara. Dia bercakap tentang kawan baiknya, yang merupakan seorang penjenayah (dipercayai merujuk kepada Kim Jong Un),” katanya.
Begitupun, Trump dilihat lebih bersikap diplomatik dalam hubungannya bersama Jong Un.
“Anda tahu, Korea Utara, kita tidak berperang, kita mempunyai hubungan yang baik.
“Menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin negara lain adalah perkara baik,” katanya.
Debat itu merupakan peluang terakhir untuk mereka bersemuka dan menyatakan idea masing-masing sebelum rakyat Amerika akan memilih Presiden mereka pada 3 November ini.
#Donald Trump #China #Amerika Syarikat #Joe Biden #UN #Xi Jinping #Korea Utara #presiden #pemilihan #Korea #Kim Jong Un #debat #pandemik #COVID-19