KUALA LUMPUR: Turki terus menjadi medan Terengganu Cycling Team (TSG) memburu kejayaan dengan pelumbanya Carlos Quintero dari Colombia memenangi Grand Prix (GP) Gundogmus semalam.

Pelumba berusia 35 tahun itu menyudahkan perlumbaan 103.5 kilometer itu untuk gelaran juara keduanya selepas memenangi GP Velo Alanya dua minggu lepas sementara rakan sepasukan Metkel Eyob dari Eritrea di tempat kedua dan Franklin Archibold daripada pasukan "Panama es Cultura y Valores" di kedudukan ketiga.

"Saya amat gembira begitu juga pasukan, kami sentiasa bersama di sepanjang perlumbaan. Bagaikan tak percaya," katanya dalam klip video mengenai reaksi kemenangannya yang diperoleh daripada TSG.

Sehari sebelum kemenangan pertama Carlos, pelumba pecut Malaysia Mohd Harrif Saleh menjuarai GP Velo Manavgat, satu lagi perlumbaan berstatus 1.2 dalam kalendar Jelajah Eropah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Sementara itu dalam GP Mediterrennean pada Sabtu, Mohd Harrif menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala rakan sepasukan Irwandie Lakasek dan Wan Abdul Rahman Hamdan masing-masing di kedudukan keenam dan kelapan.

-- BERNAMA