KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencadangkan pelantikan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak lagi dibuat oleh Perdana Menteri bagi memastikan suruhanjaya itu bebas dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Titah baginda, pada masa kini, empat ahli JAC merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya merupakan individu dilantik oleh Perdana Menteri.

“Dari segi Badan Kehakiman, Majlis Raja-Raja bertanggungjawab dalam melantik hakim-hakim di Malaysia.

BACA: Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 selesai bersidang

“Beta melihat proses pelantikan hakim di Malaysia pada masa ini mempunyai kelemahan dan boleh diperbaiki. JAC memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim.

“Oleh itu, keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan JAC terus berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber,” titah baginda.

Titah baginda, pelantikan hakim tersebut wajar diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

“Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang, dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” titah Tuanku Muhriz.

Majlis Raja-Raja | Mesyuarat ke-260 masuk hari kedua

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan perutusan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 pada Rabu.

Tuanku Muhriz turut mencadangkan struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi lain yang relevan.

“Sekiranya semua ini dilaksanakan, beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah di kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah supaya tiada lagi pemimpin membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.

BACA: Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja

“Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap yang lebih tinggi,” titah baginda.

Astro AWANI pada Rabu melaporkan hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang bermula sekitar pukul 10 pagi tadi berlangsung selama hampir dua jam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz itu tamat sekitar pukul 12.45 tengah hari.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berangkat ke mesyuarat berkenaan yang berlangsung di Istana Negara.