SERDANG: Orang ramai tidak perlu panik dengan situasi COVID-19 di Tuaran, Sabah, yang dikategorikan sebagai zon merah, kerana kebanyakan kes yang dicatatkan adalah dalam Kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan gejala ringan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata situasi COVID-19 di Sabah masih terkawal dan kumulatif kes yang direkodkan di Sabah ketika ini adalah kurang daripada 100 kes seminggu.

"Sejak akhir-akhir ini apa yang kita lihat kes-kes COVID-19 ini yang berlaku adalah kes-kes yang tidak terlalu teruk, dan (penghidap) tak perlu datang ke hospital pun, sebaliknya isolasi boleh dilakukan di rumah sahaja," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

"Kalau ada kes (kategori) 3, 4, dan 5, kategorinya yang agak teruk sedikit, kebanyakan kes yang kita dapati adalah kes-kes yang berumur 60 tahun ke atas dan juga mereka yang ada komorbid seperti kencing manis," katanya.

Sebelum ini Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam dilaporkan berkata Tuaran menjadi zon merah COVID-19 berikutan peningkatan mendadak kes positif sepanjang minggu lepas, apabila daerah itu mencatat 26 kes baharu sepanjang minggu lepas berbanding 18 kes pada minggu sebelum itu.

Secara keseluruhan bilangan kes baharu pada Minggu Epid (ME) 19/2023 iaitu minggu lepas di seluruh Sabah meningkat sebanyak 68 peratus kepada 64 kes berbanding 38 kes minggu sebelumnya.

Sementara itu, Dr Zaliha mengingatkan orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala strok haba seperti keletihan, kekejangan dan dehidrasi.

Beliau berkata semua fasiliti kesihatan telah diminta bersiap-siaga dari sudut penerimaan kes-kes yang berkait dengan strok haba.

"Setakat ini kita tengok keadaannya agak terkawal dan sederhana sebab kita pantau juga kawasan-kawasan (hotspot) daripada laporan MetMalaysia," katanya.

Setakat semalam, katanya terdapat 15 kes strok haba dengan satu kematian direkodkan, membabitkan empat kes strok haba, lima kelesuan haba dan enam kes kejang haba.

-- BERNAMA