KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh hari ini menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa siasatan khas berhubung isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Wong (PH-Ipoh Timur) berkata jawatankuasa itu perlu menyiasat isu berhubung pegangan saham milik Azam dan membentangkan laporan siasatan kepada Parlimen.

"Isu berkaitan pegangan saham Azam sehingga hari ini, rakyat tidak diberitahu apa keadaan sebenar dan apa yang terjadi.

"Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar) jawab bahawa kes ini sudah selesai di antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Azam namun apa yang telah selesai?" katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Januari lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) memutuskan satu mesyuarat memanggil Azam untuk menjelaskan isu berhubung pemilikan saham beliau.

Bagaimanapun, prosiding yang dirancang pada 19 Jan itu ditangguhkan dan Pengerusi PSC Abdul Latiff Abdul Rahman berkata pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu sebelum ia diteruskan.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini pula, Kementerian Kewangan memaklumkan hasil inkuiri SC menunjukkan Azam adalah penama akaun saham itu dan beliau mempunyai kuasa ke atasnya.

"Azam telah mengendalikan akaun saham yang dibukanya dan telah menyampaikan arahan untuk jual, beli serta pemindahan saham daripada akaun itu," katanya.

Menurut Kementerian Kewangan, SC sebagai pihak berkuasa berwibawa telah menamatkan inkuiri dan berdasarkan keterangan bebas yang diperoleh, ia memutuskan bahawa tiada pelanggaran terhadap Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Akta 453) yang dilakukan oleh Azam.

Kementerian Kewangan menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah SC telah memanggil Azam dalam penyiasatan isu akaun saham itu serta justifikasi SC dalam menyimpulkan bahawa beliau ialah penama dan mempunyai kuasa ke atas akaun itu.

-- BERNAMA