KUALA LUMPUR:Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa idea penubuhan Perikatan Nasional (PN) datang daripada beliau sendiri.

Dr Mahathir menerusi satu kenyataan pada Isnin menjelaskan, jika ia adalah rancangannya, mengapa perlu beliau menolak idea itu yang akan turut memastikan beliau kekal sebagai perdana menteri.

"Saya telah diberitahu mengenai tuduhan Azmin bahawa saya yang merancang penubuhan Perikatan Nasional (PN).

"Saya telah berkali-kali terangkan bahawa ini tidak benar sama sekali kerana PN itu dianggotai oleh kleptokrat dan ditunjangi oleh UMNO secara en bloc.

BACA: Tubuh Perikatan Nasional idea Tun Mahathir untuk kekal sebagai PM - Azmin

"Jika saya merancangnya mengapa perlu saya tolak apabila ia menjadi kenyataan dan jika saya terima sudah pasti saya kekal sebagai Perdana Menteri seperti yang diakui sendiri oleh Azmin," ujarnya. 



Dr Mahathir pada masa sama mendakwa, rancangan penubuhan PN dan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) adalah daripada Azmin sendiri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Keduanya, jika ada sesiapa yang beria-ia merancang menubuh Kerajaan PN dan keluar PH sudah pasti ianya Azmin dan juga Muhyiddin, yang mendapat hasil paling lumayan.

"Jangan lupa ketika semua ini berlaku, kedudukan Azmin di dalam Keadilan dan juga PH amat terancam. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya merancang dan berusaha untuk menjatuhkan Azmin dan ini bermula sejak pemilihan di dalam Keadilan.

"Anwar secara terbuka menyokong Rafizi Ramli yang menentang Azmin untuk jawatan timbalan presiden dan apabila usaha tersebut gagal, muncul pula video yang mengaitkan Azmin dengan perlakuan seks sumbang.

"Ini menambah tekanan kepada Azmin dan apabila beberapa penyokong Anwar dikatakan terlibat di dalam penyebaran video tersebut, kedudukan Azmin di dalam Keadilan serta hubungannya dengan Anwar menjadi untenable atau tidak boleh diperbaiki," jelasnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa, beliau memahami rancangan "Langkah Sheraton" oleh Azmin walaupun beliau secara terang menentangnya.

"Ini kerana baginya, yang paling penting ialah menyekat Anwar dari menjadi perdana menteri. Tetapi jika PH terus memerintah, sudah pasti Anwar akan berpeluang menjadi perdana menteri.

"Di masa yang sama, Azmin juga bercita-cita untuk menjadi perdana menteri. Kerana itu dia bergabung dengan Muhyiddin dan amat jelas hari ini, Azmin diletak oleh Muhyiddin sebagai de facto Timbalan Perdana Menteri

"Selain itu, saya pasti Azmin telah membuat perancangan membentuk kerajaan PN dan 'langkah Sheraton' agak lama kerana saya percaya tidak mudah untuk dia meyakinkan 9 ahli parlimen Keadilan untuk ikut serta dalam 'langkah Sheraton' itu.

"Dan Azmin tahu bahawa jika sekadar Bersatu menarik diri dari PH, ia masih tidak cukup untuk menjatuhkan Kerajaan PH. Tetapi apabila Azmin ikut serta maka secara langsung kerajaan PH hilang majoriti dan jatuh," katanya.

Terdahulu, Azmin mendakwa penubuhan PN datang daripada Dr Mahathir  untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan sokongan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

Azmin turut mendedahkan, 131 akaun bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen pelbagai parti telah dipersembahkan ke Istana Negara, sebelum Dr Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 23 Februari lalu.