KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Peguam Negara yang bertindak sebagai Pendakwa Raya kadangkala tidak membenarkan pendakwaan dibuat terhadap mereka yang melakukan pencemaran sungai dan udara adalah tidak berasas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini kerana sesuatu pendakwaan yang dikenakan terhadap suspek di mahkamah adalah bergantung kepada hasil siasatan sesuatu kes.

"Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara telah memberikan kuasa kepada penguatkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar untuk menjalankan tugas pendakwaan melalui pelantikan di bawah seksyen 377 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi mengendalikan pendakwaan terhadap pihak-pihak yang mencemarkan sungai dan udara.

"Selaras dengan kehendak undang-undang di bawah seksyen 44 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 125), izin pendakwaan mestilah diperoleh terlebih dahulu daripada Pendakwa Raya.

"Arahan pertuduhan hanya akan dikeluarkan setelah Pendakwa Raya berpuas hati bahawa segala keterangan dalam kertas siasatan adalah mencukupi untuk membuktikan elemen pertuduhan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk memberikan kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar.

Ia supaya tindakan dapat terus diambil ke atas pihak-pihak yang mencemar sungai dan udara, memandangkan katanya, pihak Peguam Negara kadangkala tidak membenarkan dakwaan dibuat ke atas mereka.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian bahawa tidak ada campur tangan mana-mana pihak yang boleh memberi gangguan kepada mana-mana pendakwaan atau siasatan.