AYER KEROH: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik semula menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang baharu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Pembentukan itu terdiri daripada sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dengan dua muka baharu serta seorang ADUN Pakatan Harapan (PH).

Wakil tunggal daripada blok PH ialah ADUN Kesidang, Seah Shoo Shin yang dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.

Manakala dua muka baharu daripada BN adalah ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan masing-masing dilantik sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan serta Sains Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam yang turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri, Jumaat lalu akan mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

Terdahulu, istiadat itu didahului oleh ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang memegang portfolio Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.

Lima daripada ADUN Melaka yang dilantik menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam, hari ini.

Enam yang lain adalah ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan serta Adun Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh (Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

Tidak ketinggalan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem dilantik sebagai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan menggantikan portfolio Dr Muhamad Akmal sebelum ini serta ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dilantik sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.

Dua ADUN lain iaitu ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin serta ADUN Gadek, VP Shanmugam mengekalkan portfolio sama sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti dan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan.

Manakala dua lagi ADUN iaitu ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan tidak dilantik semula menyertai barisan Exco.