JEMPOL: Tujuh individu termasuk tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden cermin kereta orang awam yang dipecahkan menggunakan batu-bata di Felda Palong 7 di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan bahawa cermin keretanya telah dipecahkan menggunakan batu-bata dan ditendang oleh sekumpulan lelaki dan wanita bermotosikal.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham selepas pengadu telah terlanggar tayar motosikal salah seorang daripada suspek semasa berada di kuil.

"Dalam perjalanan pulang, suspek telah membuat provokasi dengan mengekori kereta pengadu dan bertindak menendang kenderaannya itu sehingga terbabas.

Kereta pengadu kemudian melanggar salah sebuah motosikal yang dinaiki suspek.

"Rentetan kejadian itu, suspek bertindak memecahkan cermin kereta pengadu menggunakan batu-bata.

"Bertindak atas maklumat, semalam (Sabtu) polis menahan empat lelaki dan tiga perempuan berumur lingkungan 24 hingga 54 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas tiga batu-bata dan dua motosikal yang digunakan semasa kejadian.

"Kesemua suspek kini direman dan kes akan disiasat di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Menurut Chang Hook, polis sedang melengkapkan kertas siasatan yang telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan ke atas suspek untuk proses pendakwaan.

Pada Jumaat, video berdurasi 54 saat tular di media sosial yang memaparkan provokasi antara sekumpulan individu bermotosikal dan pemandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.