AMPANG JAYA: Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian letupan melibatkan seorang tukang masak maut di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, di sini dua minggu lalu akan dituduh di mahkamah, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang Jaya, pada jam 10 pagi atas pertuduhan membunuh.

"Setelah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya, polis mendapat kelulusan dan arahan untuk mendakwa pasangan itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Tambah Mohamad Farouk lagi, pasangan yang berasal dari Serdang, Kedah itu akan didakwa di mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jika disabitkan dengan kesalahan katanya, kedua-dua mereka boleh dihukum gantung sampai mati.

Pasangan tersebut sebelum ini ditahan reman tujuh hari dan tempoh penahanan itu dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga Selasa ini.

Pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.

Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.

Kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.

Memetik sebuah portal tempatan, suspek lelaki itu dipercayai belajar membuat bahan letupan itu dari YouTube.