MACHANG: Seorang tukang perabot maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 3.3 Jalan Machang-Tanah Merah pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai menunggang sebuah motosikal bersendirian menghala ke arah Machang.

"Sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah keluar dari simpang sebuah stesen minyak secara tiba-tiba dan menghala ke arah Machang.

"Pelanggaran dipercayai berlaku secara berdepan dengan MPV berkenaan. Akibat pelanggaran tersebut mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, pemandu MPV berusia 26 tahun yang berasal dari Kedai Labok, Machang dan tiga penumpang lain selamat.

"Masing-masing sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Machang.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.