Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui parti itu membuat beberapa pertukaran calon PRU14 di saat akhir kerana didakwa terlibat dalam beberapa skandal.

Menurutnya, parti itu membuat semakan terhadap semua calon diketengahkan agar benar-benar bersih dari sebarang kes mahupun skandal.

Katanya, ini bagi mengelak calon berkenaan berdepan masalah selepas hari penamaan calon.

“Setakat ini, calon yang kita ketengahkan bersih, hanya segelintir calon yang disenarai awal ditukar setelah kita beroleh maklumat daripada pihak yang dipercayai bahawa calon itu terbabit kes tertentu, ini menyebabkan kami lakukan pertukaran saat akhir,” katanya, ketika ditemui selepas majlis penamaan calon.

Mukhriz berkata, pertukaran itu tidak melibatkan Kedah yang mengekalkan senarai awal calonnya.

Mengulas cubaan akar umbi yang menolak calon Dun Kuah, Mohd Firdaus Ahmad sebelum hari penamaan calon, katanya, siasatan akan dilakukan terhadap pihak yang membantah kerana Ketua Pemuda Bersatu Langkawi itu diyakini adalah calon bersih.

“Musim kempen PRU macam-macam boleh berlaku, ada yang bukan ahli menyamar sebagai ahli dengan pakai baju Bersatu dan buat kenyataan kritik pimpinan, tujuannya untuk jejaskan imej parti. Saya percaya perkara seperti ini akan berlaku lagi,” katanya.

Mukhriz juga tidak menolak kemungkinan Mohd Firdaus mempunyai hubungan rapat dengan calon Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad sebelum berhijrah ke Bersatu, memandangkan mereka dari parti yang sama.

“Saya pun mungkin dikaitkan, sebab kami semua adalah bekas ahli Umno, dah tentu ada kaitan dengan pimpinan Umno sebelum keluar parti,” katanya.

Mukhriz bagaimana pun menganggap apa yang disebarkan sebagai asam garam politik.

“Ada juga dakwaan konon ahli PKR bantah Tun Dr Mahathir Mohamad guna lambang parti itu, apabila disemak dengan pimpinan PKR, ia tidak benar. Isu itu sengaja dimainkan pihak luar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap sepanjang tempoh berkempen, tiada unsur sabotaj yang cuba dilakukan pihak lawan.

“Ada maklumat mengatakan beberapa kerusi panas seperti Langkawi, Jerlun dan Pagoh diberi tumpuan pihak lawan, jadi kami bersedia hadapi apa jua kemungkinan. Jentera parti akan tangani taktik lawan secara harmoni walaupun setakat ini tiada insiden melampaui batas,” katanya.