KUALA LUMPUR : Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan tindakan seorang jurulatih menampar pemain bola tampar remaja perempuan dalam rakaman video yang tular hari ini, adalah salah.

Beliau berkata, sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Insiden dipercayai berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 'Juara B14 2022' di Johor pada 16 Disember lepas.

Dalam video berdurasi 21 saat itu, jurulatih yang dipercayai dari pasukan Melaka itu dilihat jelas menampar dua pemainnya sebelum memberi kata-kata kepada atlet pasukannya.

Kejadian dipercayai berlaku semasa perlawanan tempat ketiga dan keempat bagi kategori wanita antara pasukan Melaka dan Johor di SJK (C) Pei Hwa.

"Ini adalah salah. Saya telah bercakap dengan (Menteri Pendidikan) Fadhlina Sidek dan kami sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan insiden itu," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

BACA: Video jurulatih tampar muka pemain bola tampar tular

Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mahu perkara itu ditangani secara serius supaya tidak meninggalkan kesan negatif di masa akan datang.

“Tiada ruang dalam sukan atau kehidupan untuk jenis kelakuan kesat ini.

“Pendidikan, kesedaran dan penyeliaan yang berkesan adalah penting untuk memastikan sikap saling menghormati antara atlet, jurulatih dan pentadbir.

“Terlalu banyak insiden seumpama ini telah dan sedang berlaku. Jika tidak ditangani dengan serius, akan terus berlaku. Ia boleh meninggalkan kesan negatif kepada anak-anak ini.

“Semoga Hannah Yeoh dapat meneruskan usaha mewujudkan Akta Sukan Selamat di Malaysia,” tegasnya di Twitter beliau.