IPOH: Kejadian seorang kanak-kanak lemas di Chemor yang tular di media sosial pada Selasa adalah kes lama yang disebarkan semula oleh laman portal.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kes berkenaan berlaku pada Disember 2019 melibatkan seorang kanak-kanak warga Myanmar berusia setahun lima bulan yang meninggal dunia akibat lemas.

Menurutnya, dalam kes itu, ibu bapa mangsa telahpun ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak.

"Pada Selasa, Polis Perak telah terkesan satu berita bergambar yang dikongsikan pemilik akaun media sosial Facebook 'Orang Kita Press' yang memetik daripada sumber updateinside.com.

"Berita bertajuk 'Mana mak ayah dia..? polis cari waris, orang ramai jumpa budak lelaki didakwa mati lemas' itu telah mendapat perhatian umum.

"Polis mengesahkan kejadian tersebut merupakan satu kes lama berlaku di Sungai Chemor berdekatan Jambatan Chemor, Ipoh tiga tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak mengitar semula berita-berita lama dengan cara menular maklumat palsu di media sosial.

"Tindakan seumpama itu hanya mendatangkan ketakutan dan khianat awam dalam kalangan masyarakat umum," ujarnya.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika ibu mangsa berusia 40 tahun sedang memasak di dapur, manakala kanak-kanak malang itu bermain di tepi rumah yang berhampiran sungai dengan jarak kira-kira 50 meter sebelum didapati hilang lima minit kemudian.

Sementara itu, perkongsian semula berita bergambar oleh laman portal berkenaan mengundang simpati warganet apabila dikatakan tragedi menimpa kanak-kanak itu akibat kecuaian.

Maklumat yang dikongsi itu juga menyatakan mangsa ditinggalkan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas guni dan tidak terurus kerana lampin pakai buangnya sudah dipenuhi dengan najis.

Turut didakwa bahawa pihak berwajib masih belum lagi mengesahkan mengenai status dan waris kepada kanak-kanak itu. -Sinar Harian