Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah menumbuk pipi seorang lelaki di sebuah pasar raya di ibu negara, bulan lalu.

S. Joseph Prakash, 41 tahun, seorang penarik kereta, mengaku bersalah di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat yang turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Memetik laporan Bernama, Joseph didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Jubayel, 42, dengan menumbuk pipi mangsa di sebuah pasar raya di Jalan Masjid India, pada 7.30 malam, 27 Feb lepas.

Dia dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal, bagaimanapun Joseph yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

"Ketika kejadian, lelaki (Jubayel) telah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan ia menyebabkan saya hilang pertimbangan.

"Saya memohon maaf atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya," kata Joseph.