KUALA LUMPUR : Langkah kerajaan menumpukan perhatian terhadap isu kos sara hidup dilihat satu pendekatan yang amat wajar.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia termasuk pendekatan untuk mewujudkan subsidi bersasar yang memerlukan mekanisme yang efisien.

“Saya juga berpendapat tumpuan awal harus diberi kepada menentukan kaedah memastikan keperluan asas rakyat tidak terdedah kepada monopoli dan eskploitasi oleh perusahaan besar.

“Saya mengusulkan agar kebergantungan negara kepada sumber luar iaitu import terutama bahan makanan perlu diatasi dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi turut berpendapat kerajaan perlu memastikan perusahaan domestik dikembangkan bagi menampung keperluan dalam negara.

Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan juga perlu mewujudkan insentif yang wajar kepada perusahaan tempatan selain memberikan keutamaan kepada pengeluaran dalam negara.

“MPPN menyokong supaya kos sara hidup dalam hal makanan, utiliti, pengangkutan, kesihatan, perumahan dan pendidikan perlu menjadi tumpuan utama Kerajaan dan harus disokong oleh pengeluar, peniaga dan pengguna,” katanya lagi.