Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bangsar pada Sabtu tidak memberi kesan besar kepada pengundi di Parlimen Lembah Pantai.

Justeru, Ketua UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan, kehadiran Dr Mahathir adalah perkara biasa dan tidak menghairankan bagi seorang pemimpin pembangkang.

"Peranan Dr Mahathir dalam pembangkang hanya memberi sedikit kesan dan kita sudah mengambil kira kesan-kesan itu dalam senario politik di sini. Saya kenal pengundi di sini.

"Misalnya kalau pengundi Melayu dahulu sokong pembangkang sekarang mereka sokong Pas dan kita juga mendapat penambahan sokongan di atas usaha yang telah dilakukan selama ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: PRU14: BN Parlimen Lembah Pantai yakin rampas balik kerusi

BACA:
Dengar kata, Nurul Izzah nak lari dari Lembah Pantai - Shahrizat

Dr Mahathir menjadi tumpuan orang ramai ketika menikmati sarapan pagi di restoran yang terletak di Bangsar pada Sabtu.

Menerusi Facebook Kelab Che Det, orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang bergambar bersamanya yang turut ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Berdasarkan gambar yang dikongsi, orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum dan usia mengambil kesempatan beramah mesra bersama bekas perdana menteri itu.

Ketika ditanya apakah perasaannya seandainya benar Dr Mahathir menjadi calon di Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak, ini kata Raja Nong Chik;

"Tun Mahathir? Saya tidak goyanglah. Kalau Lim Kit Siang (Penasihat DAP) hendak datang pun saya tidak goyang."

Jelasnya, pemilik restoran di mana Dr Mahathir bersarapan pada Sabtu itu sendiri telah menghubunginya dan memaklumkan kehadiran pemimpin berkenaan.

"Saya kata tidak ada masalah untuk sesiapa bersarapan di kedainya, Dr Mahathir ada hak untuk minum di mana-mana dan saya maklum kepada pemilik restoran itu supaya mempersilakannya.

"Dr Mahathir juga nampak seperti tidak berkempen. Sambutan yang diterimanya juga bukan di luar jangkaan," jelasnya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membayangkan kehadiran Dr Mahathir sebagai tanda pemimpin pembangkang itu akan bertanding di Lembah Pantai.

Bagaimanapun, nama Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut disebut-sebut untuk bertanding di kerusi itu pada PRU14.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini mendakwa Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar kini takut untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU akan datang.

Beberapa portal berita turut melaporkan Nurul akan bertanding di Permatang Pauh, Johor Bahru atau Pandan.

Bagaimanapun, Nurul menafikan akan bertanding di Lembah Pantai dan menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.

Pada PRU13, Nurul menang kerusi Lembah Pantai dengan menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.