Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata seseorang itu tidak akan menjadi gay sekiranya mempunyai pegangan agama yang kuat.

Beliau berkata budaya komuniti gay dan lesbian berkembang dengan luas keranagolongan itu terlalu mengikut emosi dan nafsu mereka.

"Jika iman anda kukuh, anda tidak akan menjadi gay," katanya semasa program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan salah seorang peserta Syarahan Perdana itu, yang ingin tahu cara membendung gejala yang semakin menular ini.

Sambil berseloroh beliau berkata ada kalanya beliau merasakan ada baiknya juga masyarakat di barat ramai yang mengamalkan budaya homoseksual.

“Kadang-kadang saya rasa baguslah ada perkahwinan gay di negara barat. Mereka tidak boleh ada anak, lama-lama hilanglah kaum mereka,” katanya.

Dr Mahathir menambah tujuan tuhan mencipta wanita dan lelaki adalah untuk mengembangkan zuriat.

“Nikmat yang dianugerahkan itu adalah untuk umat manusia mengembangkan zuriat,” katanya.