Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin yang teruk adalah tepat.

Itu kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan perdana menteri dalam satu wawancara bersama sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Ujar Presiden PKR itu, jika dilihat pada kerugian dan cara pengurusan yang melebihi kepentingan peribadi dan keluarga, sememangnya belum pernah ada dalam sejarah perdana menteri seperti itu dan beranggapan kupasan Tun Dr Mahathir sebagai tepat.

Dalam wawancara berkenaan, perdana menteri turut menyatakan Ahli Parlimen Port Dickson itu jauh lebih baik jika hendak dibandingkan dengan Najib.

Menjawab ringkas, jelas Anwar, beliau berterima kasih dan menghargai keyakinan perdana menteri itu terhadapnya.

"Saya baca Tun M dan saya ucap terima kasih dan keyakinan ditunjukkan kepada saya, saya hargai.

"Kalau ikut daripada segi kerugian dan cara pengurusan kepentingan peribadi dan keluarga, memang belum ada dalam sejarah PM seperti itu. Jadi Tun M tepat dalam kupasannya," kata Anwar.

Beliau berkata demikian secara ringkas kepada media selepas majlis sembang santai bersama penduduk Kampung Sega Hilir, Rantau petang tadi.

Terdahulu dalam wawancara bersama akhbar tempatan itu, Dr Mahathir beranggapan Anwar jauh lebih berbanding Najib dan menggantikan Anwar dengan seseorang seperti Najib lebih mudah diterima berbanding membiarkan Najib terus berkuasa.

Ujar pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu, meskipun pernah menyifatkan Anwar sebagai ‘tidak layak’ menjadi pemimpin suatu ketika dahulu.

Namun kini, jelasnya, bekerjasama dengan Anwar adalah lebih penting daripada membiarkan Najib terus menjadi perdana menteri.