Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menafikan dakwaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu ditipu oleh UMNO ketika berada dalam Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya Dr Mahathir menjelaskan PAS keluar dari BN akibat kekalahan pada pilihan raya negeri Kelantan pada Mac 1978.

"Katanya PAS telah ditipu oleh Umno semasa PAS berada dalam BN. Bagaimana Umno menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang," jelas beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya di www.chedet.cc hari ini.

Menerusi tulisan itu juga, Dr Mahathir menjelaskan perpecahan dalam PAS bukan disebabkan oleh UMNO sebaliknya kerana berlaku pergeseran antara Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamed Nasir dan Yang Dipertua PAS, Datuk Asri Muda.

Mohamed mendakwa telah mengesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Asri semasa menjadi Menteri Besar Kelantan.

Dr Mahathir berkata Asri cuba menyingkirkan Mohamed melalui undi tidak percaya namun Mohamed enggan meletak jawatan walaupun kalah.

Katanya ramai anggota PAS memihak kepada Mohamed dan mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Asri.

"Kerana PAS berpecah, kerajaan BN Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan," katanya.

Akibat perpecahan itu, Mohamed menubuhkan parti Berjasa dan mendapat sokongan kuat hingga memenangi 11 kerusi pada Pilihan Raya negeri Kelantan pada Mac 1978.

Sementara PAS pula hanya memenangi dua kerusi dalam Pilihan Raya tersebut.