Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dicabar untuk bertanding pada pilihanraya akan datang di Parlimen Langkawi.

Cabaran itu dikemukakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai jawapan balas terhadap cabaran yang dibuat Hishammuddin semalam.

"Saya cabar dia (Hishammuddin) bertanding di Langkawi. Saya fikirkan di Pekan ini ada benda yang pelik-pelik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Mahathir enggan berdebat dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi dan meminta Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu memujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengannya.

"Pergi pujuk 'boss' itu. Orang tua ini (merujuk kepada dirinya) bukan boleh buat apa dekat dia (Najib). Dia masih muda 60 tahun. Saya dah 92 tahun. Cakap pun dah tak betul.

"Dia takut lagi? Khairy Jamaluddin pun takut. Khairy orang muda dan suruh saya berhenti, tak boleh main politik. Orang muda boleh la lawan dengan orang tua," katanya.

Puad sebelum ini menyifatkan kesediaan Mahathir untuk berdepan dengan sesiapa sahaja dari pihak kerajaan dalam forum 'Nothing To Hide' merupakan satu penghargaan baginya.

Puad berkata forum itu merupakan platform terbaik baginya bersemuka dengan bekas perdana menteri itu untuk merungkai pelbagai persoalan berkaitan isu politik dan semasa.