Jika dana dan harta UMNO dipegang oleh proksi parti, ia mungkin akan menimbulkan masalah, sepertimana berlaku pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Oleh itu, lebih baik ia dipegang oleh presiden parti sendiri daripada individu yang tidak berjawatan di dalam parti, kata Pengarah Komunikasi dan Strategi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata derma dana politik yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah satu perkara biasa yang sememangnya telah diamalkan pemimpin terdahulu lagi.

"Dari zaman Dr Mahathir lagi, namun ketika itu dana dipegang oleh individu bukan ahli dan Dr Mahathir pernah menyuarakan kekecewaannya kerana sukar mendapatkan kembali harta dan wang UMNO kerana dipegang oleh individu lain.

"Sebagai ahli UMNO dan pemimpin UMNO, saya lebih yakin dan selesa kalau duit itu dipegang oleh Presiden parti daripada individu atau ahli perniagaan yang menjadi proksi kepada parti," katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Bomba di Putrajaya pada Selasa.

Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata isu ini tidak akan membebankan jentera BN dalam persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 nanti kerana kemasukan sumbangan dana politik ke dalam akaun Najib bukan satu jenayah.

"Pendedahan (oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu tidak menunjukkan ada apa-apa kesalahan dari segi undang-undang," tambahnya.

SPRM pada Isnin telah menafikan dana RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun Najib adalah dari dana 1Malaysia Development Berhad.

Sebaliknya, siasatan SPRM mendapati ia disumbang penderma politik, kata institusi itu dalam satu kenyataan.