PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad khuatir Malaysia akan menjadi seperti Singapura selepas Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) nanti.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, ia kerana ketika ini orang Melayu yang tidak menguasai ekonomi negara turut kehilangan kuasa politik.

Malah katanya, kerajaan yang ada sekarang ini juga mungkin membuat perubahan supaya kawasan pilihan raya bertukar menjadikan jumlah kawasan Melayu berkurangan dan jumlah kawasan bukan Melayu bertambah.

"Sedikit sebanyak keadaan ini akan menukar corak kerajaan yang sedia ada pada PRU16 dan pada PRU17 situasi akan lebih teruk lagi.

"Dalam negara kita tidak ada jaminan Perdana Menteri (mesti) orang Melayu dan siapa pun boleh jadi Perdana Menteri. Di waktu ini pun parti-parti Melayu yang ada dalam kerajaan tidak berkuasa dan mereka berpecah kepada tiga buah parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berakhir program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini pada Sabtu.

Program itu julung kali menggandingkan Dr Mahathir sepentas bersama bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamarudin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau yakin negara akan tergadai jika orang Melayu tidak berhati-hati memilih pemimpin yang benar-benar memperjuangkan Melayu.

Justeru, beliau menggesa orang Melayu mengetepikan kepentingan diri dan parti supaya Melayu kembali mendapat kuasa di tanah air sendiri.

Tegas beliau, orang Melayu perlu mengutamakan perjuangan Melayu supaya dapat menentukan nasib mereka di negara ini.

"Sekarang ini nasib kita ditentukan orang lain dan kita tak dapat apa yang kita nak. Sekarang tak ada perpaduan (dalam kalangan orang Melayu)," ujarnya. -- Sinar Harian