KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya ketepikan sikap sombong, ego demi mencapai kemenangan melawan Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada kejayaan menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kata Dr Mahathir, beliau bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan seteru politiknya sejak bertahun-tahun dengan tujuan untuk menyekat Najib dan kerajaan BN.

"Semasa saya pergi bertemu dengan Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada di dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Najib dan Kerajaan UMNO dan BN pimpinannya daripada terus berkuasa.

"Ketika itu, seluruh dunia melapor puluhan bilion wang rakyat dirompak oleh Najib dan jika Najib dan kerajaan itu tidak dijatuhkan, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun.

"Sifir politik ketika itu juga amat jelas, jika pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Disebabkan itu, Dr Mahathir sedia bertemu dengan Anwar pada ketika itu dan memulakan langkah.

"Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan negara tercapai.

"Kejatuhan Najib menunjuk kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita," jelas beliau.