KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya menunggu giliran dan tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata ini kerana gaya hidup masyarakat dijangka kekal tidak akan berubah dalam masa terdekat biarpun seseorang individu itu sudah mendapatkan suntikan vaksin.

Dr Malina berkata ia juga kerana imuniti kelompok yang disasarkan mengambil masa sekurang-kurangnya lapan bulan untuk dicapai.

“Oleh itu, tidak perlu kita atau pihak tertentu untuk tergesa-gesa mendapatkan vaksin tersebut dalam tempoh yang cepat.

“Sekiranya melihat populasi negara ini secara keseluruhan, tiada keperluan sebenarnya untuk kita dapatkan suntikan vaksin dengan segera kecuali petugas barisan hadapan yang perlu didahulukan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada mereka,” katanya dalam temu bual bersama Buletin Astro AWANI pada Selasa.

BACA: Kerajaan Kelantan nafi potong barisan untuk dapatkan suntikan vaksin COVID-19


Suntikan Vaksin | Senaraikan nama barisan hadapan terima vaksin

Dalam perkembangan yang sama, beliau mencadangkan agar aplikasi MySejahtera dapat memberikan resit suntikan vaksin kepada setiap individu yang sudah membuat pendaftaran.

“Mereka diberi makluman yang jelas berhubung tarikh dan masa suntikan vaksin diberikan.

“Ini bagi mengelakkan keadaan yang mana terdapat kemungkinan maklumat dalam aplikasi itu ditukar atau dipadamkan.

“Bagi menambah baik situasi berkenaan, saya berharap penambahbaikan tersebut dapat dilakukan bagi memberikan jaminan kepada semua berhubung tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyambut baik langkah yang diambil kerajaan untuk mengenakan denda terhadap individu yang memotong barisan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

BACA: Vaksin COVID-19: 'VVIP' masuk senarai, lapor terus kepada saya - Khairy