Bekas Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM15,580 untuk rawatan kecantikan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Hakim Tuan Adli Abd. Ghalib memutuskan agar tertuduh, Md. Shamsuri Md. Isa, 42, dikenakan hukuman denda sebanyak RM46,800 bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Md. Shamsuri didakwa telah menggunakan tiga dokumen Card Credit Detail Form yang mengandungi butiran palsu iaitu pengesahan penggunaan kad kredit bagi tujuan rasmi MAHB sedangkan ia digunakan untuk tujuan peribadi merupakan rawatan kecantikan di sebuah klinik.

Tuntutan tersebut masing-masing berjumlah RM2,000, RM3,800, RM3,980 dan RM5,800.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Mac hingga 19 Julai 2016 di Pejabat Korporat MAHB, Sepang.

Md. Shamsuri diwakili peguam Cheow Wee.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Laila Mohamed Nazil, Abdul Rashid Sulaiman dan Muhamad Atif Abdullah.