KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis menegaskan beliau akan sekali lagi menghantar usul membahaskan tuntutan waris Kesultanan Sulu kepada Speaker Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Menurutnya, tiga kali usul sama ditolak sebelum ini namun beliau tetap mahu menghantarnya buat kali keempat.

Tegasnya, beliau mahu lihat sendiri kesungguhan Kerajaan Persekutuan membahaskan isu kedaulatan negara dan kerana itu, beliau akan menghantar sekali lagi usul tersebut dengan segera.

BACA: Tuntutan Sultan Sulu: Dewan Rakyat kecoh lebih setengah jam, Kota Belud diarah keluar

“Kalau kerajaan asyik cakap tidak iktiraf (kerajaan Sulu), tidak iktiraf, tidak iktiraf…cakap begitu tidak akan selesaikan masalah.

“Tapi walaupun kerajaan cakap begitu tapi pembayaran diteruskan sehingga 2013. Itu saya cakap, Sabah ini macam kena sewa saja dalam Malaysia.

“Bila pembayaran ini dihentikan, saya mahu tahu apa sebenarnya tindakan susulan selepas itu yang kerajaan buat.

“Sehingga hari ini, waktu itu ada kes di (Kampung ) Tanduo (Lahad Datu), sekarang aset Petronas dirampas.

Dewan Rakyat terus panas, Kota Belud minta tarikh baru bahas isu Sulu

“Ada banyak soalan yang kita mahu tanya,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Isnin selepas beliau diarahkan keluar dewan kerana membangkitkan isu tersebut dalam sidang sesi pagi.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dalam sidang media sama juga meluahkan kekecewaan dan mendakwa kerajaan seolah-olah tidak serius dalam menangani isu tersebut.

“Kalau dalam sidang (Dewan Rakyat) lepas, menteri kata tiada apa yang perlu dirisaukan tapi minggu lepas, kita dikejutkan dengan berita mengatakan aset Petronas di luar negara disita.

“Ada juga kenyataan daripada MARA, mereka telah arahkan pegawai-pegawai mereka untuk bersiap sedia.

“Adakah ini tidak penting bagi kita sedangkan agensi, aset kita, pegawai kita diminta untuk bersiap sedia seolah-olah akan ada sitaan lagi?

Tuntutan waris Sultan Sulu, rakyat berhak tahu butiran perjanjian


“Saya tak nampak logik akal apa sebab kerajaan tidak memandang serius perkara ini,” ujarnya.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan isu aset Petronas yang dirampas, dan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah yang menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat menyaksikan Isnaraissah Munirah diarah keluar dan tidak dibenarkan menyertai persidangan selama dua hari.

Ia selepas Ahli Parlimen Kota Belud itu tidak berpuas hati kerana Dewan Rakyat memberi ruang kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Perhutanan Negara 1994 bagi bacaan kali kedua.