KUALA LUMPUR:Semua pemain industri kelapa sawit negara disarankan untuk mengubah mekanisme dan memperkemas kaedah pengeluaran hasil tanpa bergantung sepenuhnya kepada guna tenaga buruh.

Pedagang minyak sawit Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata, langkah itu bagi mengelakkan pengeluaran produk sawit terjejas sekiranya berlaku kekurangan guna tenaga buruh susulan pandemik COVID-19.

Selain itu, menurutnya, tindakan itu juga secara tidak langsung bagi mengatasi kebergantungan terhadap guna tenaga buruh dalam industri berkenaan.

"Masalah buruh merupakan perkara utama yang sering timbul hampir setiap tahun bagi industri perladangan. Sejak sekian lama, banyak syarikat perladangan di negara ini telah mengurangkan kebergantungan kepada buruh dengan menggunakan mekanisme lain di ladang masing-masing.

"Sehubungan itu, untuk memastikan kekurangan buruh daripada mengganggu industri, syarikat mestilah perlahan-lahan beralih kepada mekanisme lain selain memperkemas proses pengeluaran produk sawit.

"Menerusi usaha itu, kerjasama dengan kerajaan amat penting bagi memastikan bekalan tenaga kerja mencukupi untuk masa akan datang," katanya kepada Astro AWANI disini, pada Isnin.

Beliau mengulas berhubung kajian Khazanah Research Institute (KRI) yang mendapati industri kelapa sawit Malaysia paling terdedah kepada masalah kekurangan buruh sehingga 30 peratus daripada paras semasa.

Dalam pada itu, David berkata, semua pemain industri perlu menitikberatkan aspek keselamatan khususnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat diamalkan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

Katanya lagi, langkah menetapkan pergiliran masa pekerja perlu diketengahkan bagi mengelakkan kesesakan berlaku pada satu-satu masa.

"Kita telah menyaksikan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja warga asing di tapak binaan. Oleh itu, syarikat perlu menggunakan SOP ketat di kawasan ladang dan juga tempat tinggal pekerja.

"Syarikat juga mesti bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku khususnya aspek pengeluaran produk sawit jika berlaku kes jangkitan di ladang masing-masing," ujarnya.